KMKK Institusi Penting Di Peringkat Akar Umbi

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


JEPAK: Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) merupakan institusi penting di peringkat akar umbi.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, mereka memainkan peranan penting dalam melaporkan isu rakyat di peringkat akar umbi kepada pejabat daerah.

Tambahnya, pelantikan KMKK dilakukan secara kemas, teratur dan teliti berdasarkan keupayaan masing-masing.

“Sudah pastinya mereka yang dipilih dan dilantik adalah dari kalangan mereka yang berkebolehan dan mempunyai bakat serta berpengaruh dan faham hal ehwal kemasyarakatan.

“Oleh yang demikian, mereka ini boleh menyatupadukan penduduk di rumah panjang dan mengelakkan perpecahan berlaku bagi membolehkan rumah panjang tersebut membangun, begitu juga di peringkat kampung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampai Sumbangan kepada KMKK kawasan N67 Jepak di Dewan Masyarakat Jepak pada Jumaat.

Mengulas mengenai elaun KMKK, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia memberitahu, kenaikan elaun ini boleh dibawa ke persidangan DUN untuk dibahaskan.

Terdahulu dalam ucapan aluan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, permohonan yang dikemukakan oleh masyarakat di DUN N67 Jepak akan dibentangkan dalam persidangan DUN yang akan berlangsung pada bulan Mei ini.

“Dalam persidangan DUN ini nanti akan memberikan peluang kepada saya untuk menyuarakan perkara-perkara berkaitan kemudahan infrastruktur seperti permohonan Skim Penempatan Baharu dan Agropark,” jelasnya.

Tambahnya, pada persidangan DUN kali ini terdapat 10 soalan bertulis yang akan dikemukan di mana ia merupakan beberapa cadangan untuk projek-projek pembangunan bagi semua kaum termasuk juga belia di Jepak demi kesejahteraan hidup masyarakat di kawasan tersebut. -EDISI UKAS