KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg tidak pernah menyatakan bahawa kredit Bahasa Melayu (BM) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak diperlukan untuk kemasukan ke universiti di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menjelaskan bahawa kenyataan itu telah disalah tafsir.
Menurut beliau, kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) turut boleh dipertimbangkan sebagai kelayakan untuk kemasukan ke universiti di negeri ini.
“Kepentingan Bahasa Melayu tidak boleh dinafikan. Oleh itu, bagi pelajar di bawah Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSIS), mereka tetap diwajibkan untuk menduduki dan memperoleh kredit dalam mata pelajaran BM di peringkat SPM,” kata Dato Sri Roland Sagah dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat bagi mengulas kenyataan pakar bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim, yang sebelum ini mengkritik cadangan Sarawak untuk membenarkan calon memasuki universiti secara percuma di negeri ini bermula 2026 tanpa keperluan kredit BM pada peringkat SPM.
Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa cadangan tersebut tidak bermaksud untuk mengabaikan kepentingan Bahasa Melayu, tetapi bertujuan memberikan laluan alternatif kepada pelajar melalui pengiktirafan kelayakan UEC.
Tegas Dato Sri Roland, dasar ini adalah selari dengan usaha kerajaan negeri untuk memastikan pendidikan lebih inklusif tanpa mengkompromikan nilai-nilai kebangsaan, terutama penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.-EDISI UKAS