Eksploitasi Potensi Air Dari Sungai Batang Lupar, Hasilkan Elektrik Melalui Konsep Graviti

Disiarkan pada 28 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

 
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus mengambil inisiatif menggunakan sumber alam semulajadi khususnya sungai-sungai untuk menggalakkan pembangunan ekonomi dan pertanian di negeri ini.
 
 
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau berhasrat untuk mengeksploitasi potensi Sungai Batang Lupar dengan memanfaatkan airnya untuk menghasilkan tenaga elektrik melalui konsep graviti.
 
 
Beliau percaya bahawa sistem ini tidak hanya akan menyediakan tenaga elektrik malah membolehkan sistem pengairan tanah bagi penanaman padi.
 
 
“Kita banyak sungai, saya mahu cuba Batang Lupar. Ambil air melalui pam dan letak di dalam tangki ‘inhibitor’.
 
 
“Lepas itu buat paip daripada tangki untuk melepaskan air dan memutarkan turbin untuk mengeluarkan elektrik kerana ia berdasarkan konsep graviti.
 
 
“Apa-apa yang naik mesti turun. Anda meletakkan air, ia akan mengalir ke bawah dan sumber kuasa yang mengalir sebenarnya adalah air yang mengalir,” katanya.
 
 
Beliau berkata demikian pada Pesta Hopoh Semalaysia 2024 di Kuching pada Sabtu.
 
 
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, keinginan beliau untuk menguji projek ini dengan harapan Sarawak akan menjadi pengeluar utama beras dan dapat menyokong perkongsian beras dengan Persatuan Hopoh di Semenanjung Malaysia.
 
 
“Kemudian akan terdapat banyak aliran air dari turbin itu di mana kita simpan air itu dan kemudian boleh menjadi sistem pengairan tanah untuk padi tanah dan menghasilkan beras.
 
 
“Maknanya teknologi baru akan mempunyai dua fungsi, satu untuk mencipta tenaga elektrik dan kedua untuk pengairan tanah.
 
 
“Ini (teknologi) baru, dapat ataupun tidak, saya mahu cuba kerana jika ia terjadi nanti, mungkin kita pengeluar beras di Sarawak dan kita boleh bekalkan beras kepada Persatuan Hopoh di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
 
 
Beliau turut memberitahu, Sarawak mempunyai matlamat untuk menjadi negeri yang termaju di Malaysia menjelang tahun 2030.
 
 
“Kita bersama dengan rakan-rakan dari negeri-negeri lain, tentu juga sedang bekerja keras untuk mencapai matlamat dan sasaran tersebut.
 
 
“Namun, di Sarawak, kami mahu agar semua komuniti bekerja bersama-sama.
 
 
“Sama ada Bumiputera, Cina, Iban, Melayu, Orang Ulu, kita bersatu padu untuk mencapai matlamat yang sama dan kami percaya bahawa dengan kerjasama dan kesatuan di kalangan semua lapisan masyarakat, kita dapat melangkah maju bersama sebagai sebuah negeri yang lebih maju dan sejahtera menjelang tahun 2030,” katanya lagi.
 
 
Turut hadir dalam majlis berkenaan, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, Dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Yap Yau Sin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, Presiden Persatuan Hopoh Sarawak, Datu Dr. Chai Khin Chung serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS