Kemajuan Pelancongan Miri Tingkatkan Kepentingan Keselamatan Laluan Air

Disiarkan pada 10 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


MIRI: Pertumbuhan sektor pelancongan di Miri telah meningkatkan kepentingan pengangkutan sungai dan laut, sekali gus memerlukan perhatian lebih terhadap aspek keselamatan.

Bagi memenuhi keperluan tersebut, Kementerian Pengangkutan Sarawak melalui Bahagian Pengangkutan Sungai dan Laut, dengan kerjasama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, telah menganjurkan Riverine Transport Safety Workshop di Hotel Pullman Miri.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, menegaskan bahawa Miri merupakan sebuah bandar raya yang masih bergantung kepada sungai sebagai medium penting bagi perhubungan dan aktiviti ekonomi seperti perindustrian, perkapalan, dan perikanan.

“Sebagai bandar yang aktif dalam industri perkapalan dan penggunaan sungai, aspek keselamatan pengguna sungai perlu diutamakan bagi memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya semasa menyampaikan ucapan di bengkel tersebut yang turut digabungkan dengan River Cleanliness Campaign pada Isnin.

Menurut beliau, kempen tersebut bertujuan menyampaikan pengetahuan dan kemahiran asas berkaitan tindak balas kecemasan di atas perahu atau bot.

“Inisiatif ini dirangka khusus untuk pengguna sungai di Sarawak bersempena ulang tahun kelima penubuhan Kementerian Pengangkutan Sarawak,” tambahnya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Dato Henry Harry Jinep; Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Selamat Yanjah; dan Pemangku Timbalan Residen Miri, Ashard Samshu.-EDISI UKAS