Mukah Berpotensi Jadi Destinasi Sukan Berbasikal Antarabangsa

Disiarkan pada 09 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


MUKAH: Mukah berpotensi menjadi destinasi sukan berbasikal yang dikenali di dalam dan luar negara melalui Mukah Criterium Challenge 2024 yang julung kali diadakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Haji Arbi berkata, penganjuran Mukah Criterium Challenge 2024 mengambil inspirasi daripada kejayaan Layar Cycling Event di Bahagian Betong serta Kuala Baram Race di Bahagian Miri.

"Saya percaya Mukah turut mampu mengikuti jejak langkah tersebut dan menjadi pusat tumpuan sukan berbasikal pada masa hadapan", katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Mukah Criterium Challenge Mukah 2024 di Perkarangan Medan Ria Mukah pada Ahad.

Mukah Criterium Challenge Mukah 2024 anjuran GS Cycling Club dengan kerjasama Pejabat Residen Mukah telah berjaya menarik 180 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk peserta dari Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan juga Afrika Selatan.

Abdul Yakub menambah, acara ini juga membuka ruang untuk mencungkil bakat-bakat baharu khususnya dalam kalangan belia dan generasi muda dalam sukan berbasikal.

Mukah Criterium Challenge 2024 menawarkan lapan kategori pertandingan iaitu Terbuka Lelaki, Belia Lelaki, ‘Master’ Lelaki, Veteran Lelaki, ‘Junior’ Lelaki, Terbuka Wanita, ‘Super Master’ dan Tertutup Mukah iaitu kategori khas untuk penduduk yang berasal dari Mukah dan yang bekerja di Mukah.-EDISI UKAS