Warga Spaoh Perlu Hargai Perpaduan Sedia Ada

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SPAOH: Rakyat di sini mesti menghargai perpaduan sedia ada mereka yang telah menyumbang besar kepada kemajuan dan kestabilan mereka.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perpaduan ini amat penting terutamanya buat masa sekarang di mana lebih banyak usaha sedang dilakukan untuk membawa pembangunan dan kemajuan di kawasan tersebut.

“Kita mesti memperkukuh serta mempertingkatkan perpaduan supaya kita kekal ‘segulai sejalai’ bagi membolehkan kita berjaya menghadapi segala cabaran masa depan yang mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sambutan Hari Raya anjuran masyarakat Melayu Kampung Spaoh pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu menambah, daerah kecil Spaoh khususnya dan Bahagian Betong amnya mempunyai masa depan yang sangat menarik dan cerah dengan adanya Agensi Pembangunan Bahagian Betong untuk merangka lebih banyak program pembangunan di sini.

"Jadi kita tidak boleh membiarkan mana-mana darah jahat di kalangan kita menghalang proses itu," ujar beliau.

Tambahnya, beberapa projek pembangunan utama di sini akan disiapkan tahun depan seperti Pelabuhan STOL Bebuling, jambatan Paku, Pusat Giat Mara, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan berhampiran STOLport dan Pusat Internet Komuniti.

Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah mengumumkan bahawa daerah kecil itu akan mendapat dewan baharu yang boleh memuatkan 200 meja makan dengan nilai anggaran belanja bagi projek tersebut adalah sebanyak RM3 juta.

Selain itu, beliau telah menyampaikan geran sebanyak RM50,000 kepada setiap satu kepada 10 surau di sini manakala Masjid Darul Syifa menerima sebanyak RM200,000.

Turut hadir, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu. -EDISI UKAS