KUCHING: Terinspirasi dengan keunikan Lutong yang mempunyai gereja dan masjid dibina secara bersebelahan, konsep yang sama akan digunakan untuk membina rumah ibadat masyarakat Islam dan Kristian di Sebauh.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom memberitahu, semangat perpaduan dan rasa saling menghormati yang kuat diserlahkan di Lutong itu menjadi inspirasi kepada beliau untuk membina kedua-dua rumah ibadat berkenaan yang mana nanti akan turut berkongsikan tempat parkir yang sama.
“Dengan idea itu, saya juga akan melaksanakan satu projek di Sebauh, daerah di bawah seliaan saya di mana kami mempunyai lima ekar tanah untuk masjid, lima ekar tanah untuk gereja.
“Rumah ibadat ini juga akan berkongsi tempat letak kereta yang sama, hanya dipisahkan oleh pagar di luar. Ini akan menunjukkan bahawa toleransi agama kita benar-benar seperti apa yang ingin kita tunjukkan kepada dunia,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mengadakan lawatan ke Gereja Katolik St Peter di sini pada Isnin.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan RM20 juta yang mana masing-masing akan menerima RM10 juta untuk memulakan projek ini nanti.
Difahamkan, projek ini kini masih dalam proses tender. -EDISI UKAS