KUCHING: Gereja Katolik St Peter di Padungan menjadi mercu tanda baharu bersinonim dengan Kuching yang dikenali sebagai Bandar Perpaduan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom memberitahu, pembinaan gereja ini berserta keberadaan rumah-rumah ibadat lain di Kuching menonjolkan lagi perpaduan Sarawak, yang dilihat sukar dijumpai di tempat lain.
“Ini akan menjadi kebanggaan simbol keharmonian, perpaduan dan juga toleransi agama kita di Sarawak dan pada pandangan saya, masih tiada tandingannya di mana-mana negeri dalam Malaysia.
“Ini merupakan langkah kita dalam menuju ke arah kemajuan Sarawak yang lebih cerah pada masa hadapan, dengan keharmonian rakyatnya yang hidup dalam keadaan selesa dan diberkati oleh Tuhan dan saya berharap perkara ini dapat dikekalkan selamanya,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mengadakan lawatan ke Gereja Katolik St Peter di sini pada Isnin.
Sementara itu, Catholic Archbishop, Dato Dr. Simon Poh memberitahu, kewujudan rumah-rumah ibadat pelbagai agama di Kuching yang tidak jauh antara satu sama lain membuktikan bahawa penduduk berbilang agama saling menghormati dan menerima antara mereka.
“Ini akan menjadikan bandar yang harmoni dan perpaduan yang menyerlahkan lagi rasa hormat dan penerimaan antara satu sama yang lain seterusnya membuktikan Kuching benar-benar sebuah Bandar Perpaduan,” jelas beliau.
Antara tarikan utamanya ialah 22 panel kaca berwarna yang menggambarkan detik-detik penting dalam kehidupan Yesus Kristus, dikenali sebagai Jalan Salib dengan kesemua panel ini menggabungkan motif tempatan Dayak, menambahkan sentuhan budaya yang unik buat gereja ini.
Dalam pada itu, Rektor Gereja St. Peter, Reverend Father Vincent Chin memberitahu, gereja yang dapat memuatkan lebih kurang 1,000 orang umat dalam satu misa akan dibuka secara rasminya pada Jun tahun hadapan.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh, ADUN Bukit Semuja John Ilus, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS) Datu Dr Adrian Susin Ambud, Pengarah UKAS Samuel Simon, serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS