Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 Bermula, Lawas Destinasi Pertama

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



LAWAS: Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 bermula hari ini di Bahagian Limbang bagi mempromosi temasya sukan dwitahunan itu yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

 

Pelancaran Larian Baton edisi kali ini akan menjadi peristiwa penting dalam sejarah yang bakal dilakar sempena penganjuran SUKMA XXI Sarawak 2024.

 

Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 akan diteruskan ke Bahagian Miri, Bintulu, Sibu, Mukah, Sri Aman, Betong, Kota Samarahan, Serian dan berakhir di Kuching pada 23 Jun depan.

 

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee telah menyempurnakan pelepasan Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 di Taman Awam Lawas di sini pada jam 8 pagi.

 

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datu Felicia Tan Ya Hua, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Reduan, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.

 

Manakala acara perasmian Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Lebih menarik, lebih 100 peserta dari Bahagian Limbang dan kontinjen jemputan dri Brunei Darussalam telah mengambil bahagian dalam larian baton tersebut.

 

Larian Baton sejauh 3.6 kilometer (km) itu diketuai oleh ikon sukan silat Zamri Matnor yang telah memenangi pingat di setiap kejohanan disertai dalam dan di luar negara.

 

Beliau diiringi oleh ikon sukan renang olahragawan Paralimpik Jamery Siga serta ikon sukan angkat berat Lai Tze Hua.

 

Ikon sukan keempat yang terlibat sama ialah Jeffery Tamba mewakili sukan angkat berat dan bagi mewakili atlet Paralimpik Malaysia dalam sukan olahraga ialah Bajury Ladis.

 

Seramai 1,000 pengunjung dari sekitar kawasan Limbang dan Lawas telah hadir memeriahkan suasana dan menyertai pelbagai acara seperti Mega Aerobik Sarawak X-Tive dan beberapa pertandingan melibatkan e-sukan.

 

Untuk rekod, dianggarkan lebih 12,000 atlet akan berkampung di sembilan bahagian di negeri ini untuk menyertai 37 sukan yang akan dipertandingkan dalam temasya sukan itu nanti. -EDISI UKAS