KAPIT: Sambutan ulang tahun Perjanjian Perdamaian Kapit ke-100 tahun disifatkan sebagai lambang kejayaan perpaduan dalam mencorak keharmonian dan kemajuan Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kejayaan negeri ini dalam mengekalkan kestabilan sosial dan politik membuktikan kepelbagaian kaum, agama, dan budaya bukan halangan, tetapi aset yang menyatukan rakyat.
“Perdamaian yang dicapai ini bukan sekadar sejarah, tetapi menjadi asas kukuh dalam membentuk masyarakat yang matang, harmoni, dan progresif.
“Sarawak menjadi bukti bahawa perpaduan adalah kunci kemakmuran,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Perayaan 100 Tahun Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 di Fort Sylvia, pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapit tersebut turut memuji keupayaan pemimpin Sarawak, khususnya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang berjaya mentadbir negeri dengan bijaksana dan memastikan kestabilan politik.
Menurut beliau, kebijaksanaan pemimpin Sarawak dalam mengetepikan perbezaan politik telah mewujudkan suasana harmoni yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial.
Beliau turut menekankan bahawa keharmonian yang terjalin di Sarawak sering mendapat perhatian dunia, dengan ramai yang kagum terhadap cara rakyat negeri ini hidup dalam aman meskipun berbeza latar belakang.
“Orang luar sering bertanya, bagaimana Sarawak yang mempunyai pelbagai etnik dan agama boleh hidup tanpa rusuhan atau kebencian. Jawapannya adalah perpaduan yang kita pegang teguh,” tambahnya.
Selain itu, beliau juga menyentuh hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia sebagai simbol semangat serumpun yang kukuh.
“Kerjasama ekonomi dan diplomatik antara kedua-dua negara membuktikan bahawa perpaduan bukan hanya untuk satu negeri atau negara, tetapi boleh melangkaui sempadan,” jelasnya.
Terdahulu, Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono menyatakan bahawa nilai bersama seperti toleransi, persefahaman, dan solidariti merupakan asas hubungan erat antara kedua-dua wilayah.
Beliau turut menekankan kedudukan strategik Kapit yang bersempadan dengan Kalimantan Timur, wilayah di mana ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, bakal dibangunkan.
Menurutnya, perkembangan ini membuka peluang besar untuk kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan, hubungan jaringan, dan pertukaran penduduk.
“Sebagai jiran dan rakan kongsi, Indonesia dan Sarawak bukan sahaja berkongsi kedekatan geografi, tetapi juga visi bersama ke arah kemajuan berasaskan keamanan dan keterangkuman.
“Peringatan hari ini mengingatkan kita bahawa perjalanan menuju perpaduan adalah usaha yang berterusan.
“Perjanjian Perdamaian Kapit menjadi mercu tanda untuk terus mencipta rantau yang harmoni dan makmur, di mana kepelbagaian diraikan dan kemajuan dikongsi bersama,” ujar beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Penasihat Utama Jawatankuasa Pengelola Induk dan Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Leonard Linggi Tun Jugah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS