Inisiatif Berkaitan Belia Tidak Pernah Dibantah Sebaliknya Disokong Kabinet Sarawak

Disiarkan pada 08 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Kerajaan Sarawak mengambil serius masa depan golongan belia sebagai generasi penerus kepimpinan wilayah ini dengan menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap pembangunan mereka melalui pelbagai inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sehingga kini, setiap aktiviti mahupun program melibatkan belia yang dibawa ke peringkat kabinet tidak pernah mendapat tentangan.

Menurut beliau, semua ahli kabinet sepakat dalam memahami pentingnya pembangunan belia untuk memastikan kemajuan dan kesejahteraan Sarawak pada masa depan.

"Selalunya, kita tidak menghadapi tentangan, malah mendapat sokongan penuh daripada ahli kabinet, terutamanya dalam usaha menangani isu-isu sosial seperti penyalahgunaan dadah dan meningkatkan kemahiran belia dalam pelbagai bidang.

"Keprihatinan ahli kabinet terhadap isu belia sangat tinggi, sehingga ada kalanya mereka bertanya sama ada cukup atau perlu ditambah lagi program-program tersebut bagi mencapai matlamat pembangunan belia yang lebih efektif,"ujarnya.

Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan amanat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam Majlis Pelancaran Rasmi Hari Belia Sarawak 2024 yang berlangsung di Dewan Hotel Kingwood Beach Resort, di sini pada Sabtu.

Menjelas lanjut, Dato Sri Abdul Karim menekankan bahawa kerajaan Sarawak berusaha keras untuk memastikan tiada belia yang tertinggal atau terpinggir daripada arus pembangunan.

Bagi merealisasikan matlamat ini, kementeriannya telah menyediakan pelbagai platform dan inisiatif, termasuk program latihan kemahiran, peluang keusahawanan, serta sokongan sosial yang dirancang khusus untuk memberi manfaat kepada belia Sarawak.

"Seperti yang dikatakan dalam pepatah, ‘Jika kita hendak melihat masa depan negara, lihatlah keadaan belia hari ini'.

"Apa yang saya lihat di seluruh Sarawak, belia kita sangat bersemangat dan berdaya saing..kepimpinan yang ada pada hari ini sudah cukup teratur dan saya yakin, belia yang kita bimbing sekarang akan meneruskan legasi kepimpinan pada masa depan ke arah yang lebih gemilang,"tambah beliau.

Sementara itu, bercakap dalam sidang media, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, motif utama sambutan ini bukan sahaja untuk meraikan pencapaian dan potensi belia Sarawak, tetapi juga untuk memberi penghormatan kepada usaha gigih belia yang telah membantu membangunkan Sarawak.

"Setiap tahun kementerian saya akan menetapkan satu tarikh untuk kita secara simboliknya memperingati pentingnya peranan belia dalam pembangunan wilayah ini.

"Banyak aktiviti dan program yang bersangkut paut dengan belia diadakan, di samping penganugerahan juga diberikan kepada tokoh-tokoh belia yang terpilih, dengan harapan agar ia akan memberi inspirasi kepada belia-belia lain untuk sentiasa memberi kepentingan kepada masyarakat, di samping mengemblengkan tenaga untuk membangun diri sendiri, keluarga dan negara,"ujarnya lagi.

Terdahulu, Dato Sri Abdul Karim telah mewakili Premier Sarawak menyampaikan Anugerah Belia Sarawak 2024 kepada para penerima iaitu Persatuan Belia Miri dan Persatuan Junior Chamber International Sibu bagi kategori pertubuhan, manakala kategori Individu lelaki dan wanita pula, penerimanya ialah Mattasan Bohari dan Debbie Gibson Medan.

Hadir sama memeriahkan majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, ADUN Daro Safiee Ahmad, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh serta beberapa kenamaan yang lain.-EDISI UKAS