Persatuan Melanau Sarikei Digesa Tarik Golongan Muda Sertai Persatuan

Disiarkan pada 07 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Persatuan Melanau Sarikei digesa agar lebih proaktif dengan meningkatkan keahlian terutamanya dari golongan muda untuk turut sama aktif dalam persatuan tersebut.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, sekiranya golongan muda dapat diserap menjadi ahli, persatuan akan menjadi lebih aktif terlibat sama dalam apa juga program yang dilakukan.

Pada masa yang sama katanya, golongan muda ini akan faham apa maklamat serta tujuan persatuan ditubuhkan selain dapat menjadi pewaris pada masa depan.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Melanau Sarikei bertempat di Oriental Evermore Hotel, Sarikei pada Sabtu.

Persatuan Melanau Sarikei telah ditubuhkan pada tahun 2009 namun hanya aktif dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Setakat ini jumlah keahlian persatuan adalah seramai 200 orang, dan selaku Penaung Persatuan, Datuk Len menyuarakan cabaran kepada jawatankuasa yang baru terpilih agar menambah jumlah ahli sehingga mencapai 500 orang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang mahu senarai ahli terus dikemaskini supaya tidak menjadi persoalan serta pertelingkahan yang mungkin berlaku dalam persatuan.

Mengulas perkara lain, beliau mahu budaya, bahasa dan makanan Melanau dikekal dan disebarkan agar dapat diketahui oleh semua masyarakat di Sarawak ataupun di peringkat lebih tinggi.

Justeru, semua persatuan tegasnya harus lebih giat lagi bekerjasama dengan persatuan lain tanpa mengira bangsa agar sama-sama berkongsi serta bertukar fikiran dalam mengekalkan budaya bangsa.

Dedah beliau, Kamus Bahasa Melanau Ajang-Melayu telah berjaya dilaksanakan supaya generasi muda dapat meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Melanau.

Datuk Len berharap semua ini dapat dicapai untuk memastikan kepentingan serta penglibatan Kaum Melanau dalam semua aspek pembangunan dan ekonomi akan dihargai oleh semua.

Sebagai tanda sokongan, Datu Len telah menyumbangkan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk persatuan menjalankan aktiviti sepanjang tahun 2024.

Namun beliau berjanji akan menambah peruntukan menjadi RM20,000 sekiranya persatuan itu berjaya mencapai jumlah keahlian 500 orang. - EDISI UKAS