Perjanjian Perdamaian Kapit 1924, Titik Tolak Keharmonian Masyarakat Orang Ulu

Disiarkan pada 08 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 dikenang sebagai peristiwa bersejarah yang membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat Orang Ulu, meletakkan asas kepada keamanan yang dinikmati sehingga hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang, menegaskan bahawa perjanjian tersebut telah berjaya mengakhiri konflik berpanjangan antara komuniti tempatan, khususnya antara kumpulan etnik Orang Ulu dan Iban.

“Perjanjian (Perdamaian) Kapit bukan sekadar mengakhiri konflik, tetapi juga mewujudkan keharmonian yang memungkinkan masyarakat kita untuk terus membangun dan hidup dalam suasana aman,” kata beliau.

Datuk Liwan berkata demikian semasa menyampaikan ceramah dalam Seminar Antarabangsa Ulang Tahun Ke-100 Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 yang berlangsung di Dewan Suarah Kapit pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau turut menjelaskan kewujudan sempadan tradisional yang dikenali sebagai 'Kaki Wong Mikai', yang menjadi simbol persempadanan dan keamanan.

Katanya, kawasan di bawah sempadan ini merupakan wilayah masyarakat Iban, manakala kawasan di atasnya adalah teritori masyarakat Orang Ulu.

Menurut Datuk Liwan, selepas termeterainya Perjanjian Perdamaian Kapit, masyarakat Orang Ulu tidak lagi terbelenggu dalam konflik, sebaliknya dapat memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti, memelihara tradisi budaya, dan memperkukuh aktiviti ekonomi mereka.

“Selepas perjanjian ini, masyarakat kita mampu menjalani kehidupan yang lebih harmoni. Warisan ini perlu dipelihara dan dihormati agar generasi akan datang memahami pentingnya perdamaian,” tambahnya lagi.

Datuk Liwan menekankan bahawa kejayaan perjanjian ini adalah hasil persefahaman dan kesediaan pihak yang terlibat untuk bekerjasama demi kebaikan bersama.

Kehebatan Diplomasi Tradisional
Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 turut dianggap sebagai bukti kejayaan diplomasi tradisional yang berjaya merapatkan hubungan antara komuniti yang berkonflik.

Ceramah tersebut menjadi platform untuk menyoroti impak kolonialisme serta usaha-usaha perdamaian dalam konteks era kolonial dan pasca kolonial, sekali gus membuka ruang diskusi yang bermakna tentang pentingnya mengekalkan keharmonian antara komuniti.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ahli Parlimen Kapit Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Penasihat Seminar Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Jugah, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak bagi Undang-Undang Adat Bumiputera merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Seminar Datuk Jefferson Jamit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyambong Ujang, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai dan ADUN Katibas Lidam Assan.-EDISI UKAS