Kerajaan Sarawak Salur Dana RM20 Juta & RM9 Juta Masing-Masing Kepada Kampung Sapit & Kampung Kiding

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Kerajaan Sarawak melalui Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) telah menyalurkan dana sebanyak RM20 juta dan RM9 juta masing-masing kepada Kampung Sapit dan Kampung Kiding.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Jalan dan Udara) Datuk Dr Jerip Susil berkata, dana peruntukan ini bertujuan untuk meningkatkan lagi jaringan jalan raya yang mana akan merancakkan lagi industri pelancongan di kawasan berkenaan. 

“Kawasan ini telah menjadi kawasan tumpuan pelancongan melalui program berkhemah di mana mereka menikmati keindahan alam semula jadi terutamanya semasa matahari terbit.

Kawasan ini juga telah diwartakan sebagai kawasan wilayah Sarawak Delta Geopark,” jelas beliau. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Kursus Kraftangan anjuran Biro Wanita Kampung Biya Sapit di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Datuk Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong menyeru kepada penduduk agar sentiasa menjaga kelestarian dan kebersihan sungai di daerah ini memandangkan ianya merupakan nadi utama kepada sumber air bagi penduduk Bahagian Kuching.

Sehubungan dengan itu, beliau menyalurkan dana berjumlah RM5,000 kepada pihak Kampung Sapit untuk mereka menganjurkan aktiviti bergotong-royong membersihkan sungai-sungai di kawasan berkenaan.

Turut disampaikan ialah, dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM30,000 kepada Biro Wanita Kampung Sapit bagi melaksanakan aktiviti tahunan mereka.

Bagi Kampung Biya Sapit pula, dana MRP sebanyak RM10,000 telah disalurkan kepada Biro Wanitanya manakala RM30,000 kepada Persatuan Pengusaha Pelancongan kampung tersebut.

Hadir sama, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Paul Mathiues Akin, Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kecil Padawan. -EDISI UKAS