12 Klien AADK & JKPD Diraikan

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BAU: Seramai 12 klien Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jawatankuasa Rawatan Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) Bau diraikan dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri disini pada Jumaat.

Majlis yang dianjurkan bersama One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah Dan Substan (MIDS) daerah Bau itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep.

Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja untuk meraikan Hari Raya Aildilfitri bersama klien tetapi apa yang penting adalah untuk mengeratkan ikatan silaturahim disamping memberi semangat kepada mereka dalam proses pemulihan dan perubahan.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada masyarakat supaya tidak membiarkan mereka bersendirian tetapi perlu membawa mereka rapat bersama masyarakat supaya mereka mempunyai penglibatan dan tanggungjawab bersama masyarakat semasa proses pemulihan.

Dalam pada itu, beliau  berharap para klien juga mempunyai semangat yang kuat dan tabah untuk bangkit menghadapi segala cabaran selain tidak berasa takut serta malu untuk balik ke dalam masyarakat.

Hadir sama pada majlis adalah Penolong Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi,  Temenggung Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching Atok Derop, Ketua AADK Daerah Kuching Evylin Jata, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Bau, Matthew Apok dan Pengerusi Pusat Pembangunan Komuniti Pemulihan dan Intervensi (CDIC) Daerah Bau Michaelina Mitop. -EDISI UKAS