Sistem Pendidikan Negara Perlukan Pembaharuan

Disiarkan pada 07 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Sukatan serta teknik pembelajaran dalam sistem pendidikan negara pada masa kini telah banyak berubah daripada tradisional kepada penggunaan pelbagai teknologi terkini untuk memenuhi kehendak semasa serta melahirkan modal insan yang berkualiti dan berilmu.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata institusi pendidikan dan pelajar perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan khususnya ketika negara bakal dan semasa melangkah ke arah Revolusi Industri (I.R) 4.0.

"Pada hari ini, kita dapat melihat peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya.

"Murid bukan sahaja hadir ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.

"Lantas kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan khususnya ketika negara bakal dan semasa melangkah ke arah Revolusi Industri (I.R) 4.0".

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pensijilan Tamat Tingkatan 5 dan Anugerah Kecemerlangan Murid Tahun 2024/2025 di Dewan Sri Sarikei, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru pada Sabtu.

Katanya, cara penyampaian pengajaran melibatkan white board dengan menyalin nota dan sesi kuliah atau kelas yang panjang sudah lapuk serta mungkin kurang berkesan terutamanya dengan kewujudan teknologi baharu yang menjadi gaya hidup generasi kini.

Sistem pendidikan negara ujarnya perlu mengorak langkah ke arah pengajian yang dipandu teknologi digital yang lebih bersifat interaktif dan fleksibel.

Malah, warga pendidik perlu memiliki kefahaman yang jelas mengenai teknologi terkini untuk memantapkan lagi sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) seterusnya dapat membantu melaksanakan sesuatu perancangan yang telah diaturkan oleh kerajaan mahupun kementerian.

“Malaysia perlu bergerak lebih pantas agar tidak ketinggalan dalam arus kemodenan.

“Kita perlu menjadi sebuah negara bangsa berdaulat yang mempunyai acuan tersendiri dalam masyarakat majmuk serta harmoni ini,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu lagi.

Beliau turut berpesan agar anak-anak muda yang ada pada masa kini perlu terhindar daripada terjerumus dengan idealogi yang sempit dan merosakkan minda.

Mereka perlu dilahirkan dengan pemikiran yang berdaya saing serta sentiasa berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

Beliau mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada murid yang akan menerima anugerah atas pencapaian mereka ini dan berharap kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja.

"Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Memang benar, kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan.

"Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

"Berpeganglah pada prinsip ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ bermakna sesuatu kejayaan itu tidak akan dapat dicapai tanpa usaha. Bangkit semula, bergerak untuk menuju cita-cita anda.”

Hadir sama pada majlis ialah warga pendidik SMK Sarikei Baru, para ibu bapa dan pelajar tingkatan 5. - EDISI UKAS