Pelbagai Pembangunan Di Tanjong Datu Bukti Komitmen Wakil Rakyatnya Inginkan Pembangunan Berterusan

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SEMATAN: Pelbagai pembangunan yang telah dan sedang dijalankan di kawasan Tanjong Datu membuktikan komitmen wakil rakyatnya iaitu Azizul Annuar Adenan dalam membangunkan terus kawasan beliau.

Menurut beliau, antara yang akan dinaik taraf ialah Tebingan Sematan yang bernilai RM25 juta di mana dananya telahpun diluluskan di bawah inisiatif Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) untuk disambung sehingga ke penghujung Kampung Tanah Hitam 1.

Tambahnya lagi, pembinaan sistem perparitan juga telah dilaksanakan di Kampung Sebat Melayu, Kampung Sebat Baru dan Kampung Sebat Dayak bagi mengekang masalah banjir yang sering berlaku di kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Pemimpin yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Tanah Hitam pada Jumaat.

Selain itu katanya, pembangunan infrastruktur asas akan terus ditingkatkan bagi menarik kemasukan pelaburan swasta untuk membangunkan kemudahan dan keselesaan penduduk setempat.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.

Dato Sri Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong memberitahu, kerjasama antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen perlu diselaraskan agar tiada pertindihan dalam permohonan untuk menjayakan program dan keperluan masyarakat di kawasan beliau.

Turut serta dalam majlis tersebut ialah, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Nordina Haron, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Sarawak Ali Taib, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Premier Sarawak Bujang Helmi Hazemi, wakil Pemangku Pegawai Daerah Lundu Muhammad Isa Limon dan Penghulu Jumahdi Sabian. -EDISI UKAS