CBO Bahagian Kuching Bakal Dilaksanakan Secara Beperingkat

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) belum melaksanakan lagi Program Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) Bahagian Kuching setakat ini, kata Dato Sri Nancy Shukri.

Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan CBO sedang dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara.

Beliau yakin ia tetap akan dilaksanakan di Sarawak kelak.

“Untuk Kuching belum lagi, sabar ya. Sebab kita perlu pergi ke seluruh negara di semua daerah di seluruh negara.

“Tapi masa ini kita hanya baru sahaja melancarkan dalam empat buah negeri.

“Saya rasa ini adalah satu platform yang begitu penting sekali untuk masyarakat setempat terutama sekali untuk membantu masyarakat yang memerlukan tindakan untuk menghubungi mereka-mereka yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 anjuran bersama Pejabat Daerah Kuching dan KMKK Daerah Kuching di Majma’ Tuanku Abdul Halim Muazam Shah di sini pada Sabtu.

Terdahulu, KPWKM telah melancarkan CBO yang bertujuan untuk masyarakat setempat menghubungi pihak yang berkuasa dalam membendung peningkatan kes-kes penjagaan keselamatan golongan rentan dalam komuniti khususnya kanak- kanak, golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas serta mangsa keganasan rumahtangga.

Tambahnya, hubungan rapat diantara KPWKM dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan penting dalam memantau kemajuan dan keharmonian kampung.

“Ini merupakan satu program hari raya yang mana kita mengeratkan lagi silaturahim bersama KMKK.

“Sebab bila kita lihat makin banyak kes-kes yang berlaku sekarang ni misalnya dera dan macam-macam kes yang berlaku di setiap kampung,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 15 gerai dibuka oleh KMKK di setiap daerah Kuching yang menyajikan pelbagai juadah makanan tempatan.-EDISI UKAS