Generasi Muda Perlu Utamakan Pendidikan

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

 
LUNDU: Generasi muda khususnya pelajar Tingkatan Lima dan Enam perlu mengutamakan pendidikan.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menggesa para pelajar agar tidak menganggap Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai penamat perjuangan pendidikan mereka.
 
“Jangan jadikan STPM sebagai titik penamat, tetapi sebaliknya teruskan lagi perjuangan menimba ilmu sekurang-kurangnya sehingga menggapai sehulung ijazah.
 
“Jangan sampai kita menjadi beban kepada negara, negeri, masyarakat dan juga keluarga, buktikan bahawa anda semua boleh membawa kemajuan dan mendukung negara ke arah kemajuan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu di Dewan Sri Pakma di sini pada Jumaat.
 
Billy menambah, tanpa pendidikan dan kemahiran, para pelajar akan menghadapi kesukaran bersaing khususnya dalam pasaran kerjaya masa kini.
 
Menurut beliau, pemilihan kursus di institut pengajian tinggi amat penting kerana kursus yang menjadi pilihan perlu seiring dengan keperluan dalam pasaran kerjaya.
 
Tambahnya lagi, Sarawak juga mempunyai banyak institut teknikal dan kemahiran yang boleh diambil peluang seperti CENTEXS, iCATS, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian dan yang lain termasuklah kemudahan biasiswa yang boleh dipohon oleh para pelajar.
 
Dalam program sama, beliau telah mengumumkan peruntukan tambahan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lundu berjumlah RM10,000 dan Persatuan Alumni SMK Lundu berjumlah RM10,000. -EDISI UKAS