Peranan PIBG Penting Bantu Perkasa Pencapaian Murid Sekolah

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

 
ENGKILILI: Peranan Persatuan Ibu, Bapa dan Guru (PIBG) penting dalam memastikan pencapaian murid dalam bidang kokurikulum dan kurikulum yang berjaya.
 
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, pihak PIBG juga perlu memberikan galakan kepada murid agar aktif dalam bidang sukan dengan penekanan bahawa sukan juga mampu menjana pendapatan yang lumayan pada masa kini.
 
“PIBG juga boleh membawa murid melawat ke tempat yang lebih membawa faedah seperti melawat ke universiti tempatan demi menggalakkan lagi keinginan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading,” katanya.
 
Beliau berkata demikian semasa Majlis Santai PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Skrang di dewan terbuka sekolah berkenaan pada Jumaat.
 
Dalam program sama, beliau meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) RM15,000 untuk PIBG dan meluluskan Projek Naiktaraf Prasarana SK Kem Skrang berjumlah RM150,000 di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR).
 
Selain itu, seramai 20 orang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita mewakili rumah panjang masing-masing turut menerima cek MRP berjumlah keseluruhan RM188,000.
 
Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding. -EDISI UKAS