Sarawak Kaji Teknologi Baharu Bagi Penanaman Padi

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Sarawak kini mengkaji satu teknologi baharu yang menjadi serampang dua mata dalam menghasilkan elektrik dan sistem saliran yang boleh digunakan untuk penanaman padi.
 
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, memandang projek pembinaan benteng untuk menahan kemasukan air masin di persisiran Sebuyau sedang dilaksanakan, maka air dari Batang Lupar sudah boleh digunakan untuk mengairi kawasan sawah padi.
 
“Jadi saya ada cara baharu iaitu mengambil air dari Batang Lupar dengan cara kita sedut air tersebut dan dialirkan kepada tangki yang dipanggil ‘elevated tank’ atau tangki bertingkat.
 
“Apabila kita menggunakan air daripada tangki tersebut melalui paip, dan dihujungnya kita akan pasang turbin yang akan menghasilkan elektrik,” jelas beliau.
 
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau 2024 pada Sabtu.
 
Premier Sarawak menjelaskan, takungan air itu seterusnya akan disalurkan ke kawasan penanaman padi melalui sistem saliran.
 
“Apabila air naik ke tangki, terus ke turbin dan air akan bertakung di satu tempat dan air yang bertakung ini akan digunakan untuk mengairi kawasan penanaman padi.
 
“Hal ini bermakna, kawasan jana kuasa ini akan mempunyai dua fungsi yang berbeza,” jelas beliau.
 
Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, kajian seumpama ini belum lagi dilaksanakan di mana-mana negeri di Malaysia menjadikan Sarawak sebagai pelopor kepada teknologi baharu berasaskan air. -EDISI UKAS