Kerajaan Sarawak Bina Sekolah Baharu Di Sebuyau

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Kerajaan Sarawak dengan persetujuan kerajaan Persekutuan akan membina baharu sebuah sekolah baharu di Sebuyau.
 
Perkara tersebut diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau 2024 pada Sabtu.
 
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, beliau telah membuat perbincangan awal bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mengenai anggaran dana yang diperlukan untuk membuat sekolah itu.
 
“Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim tempoh hari telah bersetuju dengan perkara ini, maka saya berani menggunakan dana yang kita ada untuk membina sebuah sekolah di Sebuyau.
 
“Saya telah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak, dia memberitahu saya bahawa anggarannya adalah di antara RM50 hingga RM60 juta,” jelas beliau.
 
Sehubungan dengan itu, beliau telah mengarahkan Datuk Amar Mohamad Abu Bakar untuk menyampaikan perkara tersebut kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk melaksanakan projek tersebut.
 
Untuk rekod, Dato Seri Anwar telah mengadakan lawatan ke Sarawak pada penghujung bulan Ramadan tahun ini sekaligus memberi perlepasan kepada Sarawak untuk menggunakan dana sendiri terlebih dahulu untuk menaik taraf dan membina sekolah baharu yang mana akan dibayar semula oleh kerajaan Persekutuan kemudian.  -EDISI UKAS