Irawan Presiden Baharu SCA, Azam Bawa Perubahan

Disiarkan pada 05 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Irawan Datu Sudarsono dipilih sebagai presiden baharu Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) bagi tempoh 2024 - 2026.

Beliau mendapat mandat tersebut untuk menggantikan mantan presiden, Dato Benjamin Hasbie pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SCA diadakan pada 1 Disember lepas.

Dalam ucapannya, beliau beriltizam untuk membawa perubahan dalam sukan berbasikal negeri dengan sasaran melahirkan pelumba bertaraf kebangsaan selain menamatkan penantian pingat emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

Katanya, Sarawak mempunyai ramai pelumba berbakat, namun mereka memerlukan didikan latihan, kemudahan dan sokongan yang terbaik.

“Ini termasuk membawa masuk jurulatih pakar, menganjurkan kem latihan dan menggunakan sains sukan untuk memberikan kelebihan kepada atlet kita.

“Sama ada perlumbaan tempatan, SUKMA, mahupun kejohanan kebangsaan, saya mahu penunggang basikal kita berasa yakin dan bersedia untuk mengharungi yang terbaik.

“Sudah terlalu lama kita tidak memenangi pingat emas di SUKMA, dan saya tahu kita semua merasakannya. Tetapi saya percaya kita boleh mengubahnya.

“Dengan perancangan yang lebih baik, persediaan awal dan sokongan tertumpu kepada atlet muda kita, kita boleh melahirkan juara semula,” katanya.

Irawan juga merancang untuk menganjurkan lebih banyak perlumbaan di negeri ini baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Katanya, Sarawak mempunyai jalan raya yang baik, pemandangan yang menakjubkan selain disokong oleh komuniti berbasikal yang kuat.

“Dengan melabur dalam pembangunan jangka panjang, mencipta lebih banyak peluang berdaya saing, dan mendedahkan pelumba kita kepada tahap persaingan yang lebih tinggi, saya percaya kita boleh menjadikan Sarawak sebagai kuasa besar dalam sukan berbasikal Malaysia.”

Sementara itu, mesyuarat itu juga sebulat suara memilih Mohd Hairulnizam Mohd Zamri sebagai Timbalan Presiden.

Manakal empat lagi individu dipilih sebagai exco iaitu Saiful Hanizam Suhaini (Betong), Morshein Affandi (Sarikei), Zaibonisah Mohamad Amin (Kuching) dan Jasni Sulimi (Betong). - EDISI UKAS