KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM955 juta bagi mengendalikan serta membangunkan projek-projek di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib memberitahu, peruntukan tersebut telah disalurkan sejak tahun 2020 sehingga suku ketiga tahun ini.
“Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM819 juta digunakan untuk pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur di Sarawak, termasuk pembinaan jalan raya, pembangunan tapak industri, dan sistem bekalan air.
“Kebanyakan projek ini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan seperti reka bentuk, persediaan tapak, dan pembinaan,” katanya semasa menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau di Dewan Rakyat pada Rabu.
Sementara itu, sebanyak RM58.46 juta turut disalurkan untuk pelaksanaan program memperkasakan sosioekonomi di Sarawak, termasuk inisiatif seperti COMMUNITY@SCORE, Basmi Miskin Tegar (BMT), dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
“Inisiatif ini dirancang untuk merapatkan jurang taraf hidup rakyat tanpa berlaku pertindihan pelaksanaan dengan projek kerajaan negeri Sarawak.
“Usaha ini akan diteruskan, bukan hanya untuk masa kini, tetapi juga dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan tumpuan kepada kawasan yang lebih memerlukan pembangunan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dato Hanifah turut menambah bahawa RM77.46 juta daripada peruntukan tersebut telah digunakan untuk perbelanjaan operasi RECODA. -EDISI UKAS