Pembinaan Esplanade Sebuyau Mampu Jadi Tarikan Pelancong

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
 


SEBUYAU: Pembinaan Esplanade Sebuyau mampu meningkatkan sektor pelancongan di kawasan Sebuyau terutamanya apabila Jambatan Batang Lupar dan Jalan Utama Kedua (STR) siap kelak.
 
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pembinaan esplanade ini harap dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Sarawak yang akan dibina berdekatan dengan STR dan Jambatan Batang Lupar.
 
"Saya harap ia dapat dibina pada masa hadapan agar tapak ini dapat menjadi tarikan pelancong apabila siap kelak.
 
"Justeru, dengan adanya Jambatan Batang Lupar, benteng laut, jalan raya menuju ke Lingga dan persimpangan lebuh raya termasuk Esplanade ini nanti, Sebuyau mampu jadi destinasi tarikan pelancong," jelasnya.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau pada Sabtu.
 
Hadir menyerikan majlis tersebut, Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
 
Dato Sri Julaihi juga memohon kepada Premier Sarawak agar mempertimbangkan peruntukan bagi estet perindustrian di Sebuyau.
 
Jelasnya, tapak pembinaan dulu mempunyai masalah namun kini telah diselesaikan tetapi peruntukan yang terdahulu telah digunakan bagi membangunkan sektor lain di Sebuyau
 
"Kami dapati pembinaan estet industri perlu dipercepatkan supaya semua industri-industri yang berasaskan pertanian dan perikanan dapat diaktifkan di kawasan ini, "jelasnya.
 
Pada kemuncak majlis, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri telah menyampaikan sumbangan duit raya kepada 50 orang asnaf Daerah Sebuyau.
 
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawk, Datuk Dr Ripin Lamat, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Simunjan Awla Dris, ADUN Beting Maro Razaili Gapor serta Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali. -EDISI UKAS