UNIFOR Terus Perkukuh Keharmonian Agama Di Sarawak

Disiarkan pada 05 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuh keharmonian agama dan pembangunan infrastruktur keagamaan di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sejak 2017, sebanyak RM385 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan rumah ibadat pelbagai agama, termasuk Kristian, Buddha, Hindu, Tao, Sikh, Baha’i, dan kepercayaan tradisional lain.

“Bagi tahun 2024, peruntukan sebanyak RM110 juta diberikan untuk rumah ibadat dan 120 sekolah misi di Sarawak, memberi manfaat kepada 39,371 pelajar dan 3,201 guru. Sejak 2021, UNIFOR telah meluluskan 2,255 projek, di mana 909 projek telah disiapkan, 654 sedang dijalankan, dan 563 dalam fasa pelaporan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresasi UNIFOR 2024 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul
Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Rabu.

Sehubungan itu , Datuk Amar Douglas turut menyeru pemohon projek untuk menyelesaikan laporan status bagi mempercepatkan proses pelaksanaan.

Ujarnya UNIFOR juga sedang menilai 640 permohonan tambahan dengan jumlah keseluruhan RM431 juta, selari dengan matlamat Sarawak Maju Makmur 2030.

Dalam pada itu, tegasnya Kerjasama erat antara wakil rakyat, ketua agama, dan agensi kerajaan terus menjadi tunjang utama dalam memastikan kejayaan UNIFOR kekal sebagai simbol usaha Sarawak dalam mempromosikan keharmonian agama dan pembangunan menyeluruh.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil; Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Ekonomi), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee; Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik serta Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau.-Edisi UKAS