Penanaman Kelapa Spesies Baharu Di Sebuyau

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan terus bekerjasama membangunkan aktiviti penanaman kelapa spesies baharu di kawasan Sebuyau.
 
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peningkatan dalam aktiviti penanaman kelapa spesies baharu ini akan membuka lebih banyak peluang ekonomi hiliran terutamanya kepada pengusahanya.
 
“Buah kelapa ni bukan kita berkehendakan air dan isinya sahaja malah semua komponen seperti sabut dan daun kelapa ada kegunaannya.
 
“Daun pokok kelapa kita dapat proses menjadi baja dan hampas daripada sabut kelapa itu kita boleh buat kerusi.
 
“Jadi kita boleh buat industri sampingan daripada penanaman kelapa selain daripada kita menjual buahnya,” jelas beliau.
 
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau 2024 pada Sabtu.
 
Premier Sarawak menambah, bagi memulakan kerja ini, semua pokok-pokok kelapa yang ada di kawasan Sebuyau ini akan ditebang dan akan ditukarkan dengan penanaman kelapa spesies baharu yang mana akan melibatkan dana sebanyak RM35 juta dengan kerjasama pihak UNIMAS.
 
“Jadi saya telah mengusulkan idea ini kepada Dato Sri Julaihi Narawi untuk berbincang dengan orang kampung untuk menebang semua pokok kelapa yang sedia ada.
 
“Kita akan bekerjasama dengan pihak pakar dari UNIMAS untuk membuat kajian di mana pihak UNIMAS berkehendakan RM35 juta dan saya mengarahkan untuk projek ini diteruskan,” tambah beliau lagi.
 
Dalam menjayakan projek ini, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan agar penanaman kelapa ini akan menggunakan pendekatan moden sepertimana yang telah dibuat oleh negara luar seperti Filipina dan Thailand yang terbukti berjaya.
 
Hadir sama dalam majlis ramah tamah itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Lipin Lamat, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Simunjan Awla Dris, ADUN Beting Maro Razaili Gapor serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS