Sarawak Agresif Dalam Membangunkan Industri Hidrogen

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak akan terus komited dalam usahanya meneroka dan membangunkan teknologi baharu khususnya industri hidrogen di rantau ini.

Malah dengan dasar yang dimiliki, menjadikan Sarawak terkenal di peringkat global dalam sumber tenaga baharu.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, Sarawak berada pada landasan yang betul dalam menghasilkan hidrogen kerana menggunakan tenaga hijau. 

"Setiap negara di dunia boleh menghasilkan hidrogen sekiranya mereka mempunyai dua elemen, yang pertama air dan yang kedua adalah kuasa atau tenaga yang digunakan untuk memecahkan air kepada hidrogen dan oksigen. 

"Cuma, persoalannya adalah, apakah jenis tenaga yang akan digunakan oleh negara tersebut. 

"Adakah tenaga tersebut berasal dari tenaga hijau seperti di Malaysia, di Sarawak ini, melalui hidro, solar, angin dah sebagainya. 

"Jadi negara lain mungkin tidak mempunyai tenaga hijau untuk menghasilkan tenaga, untuk memecahkan hidrogen, jadi itulah bezanya," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut di Kesuma Resort di sini pada Sabtu. 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai progres penyerapan Jabatan Alam Sekitar Sarawak (DOE) ke dalam Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut itu enggan mengulas lanjut. 

Sekitar 2000 pengunjung berbilang kaum telah hadir ke majlis yang menyajikan pelbagai juadah hari raya tersebut. 

Hadir sama, ADUN Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang dan ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan. -EDISI UKAS