Pasukan SMK Chung Hua Miri Harumkan Nama Malaysia di World Robot Olympiad 2024

Disiarkan pada 04 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri terus mencipta sejarah gemilang apabila berjaya mencapai pelbagai kejayaan cemerlang di World Robot Olympiad (WRO) International Final 2024 yang berlangsung di Izmir, Turkiye pada 28 hingga 30 November lepas.

 

Pasukan tersebut berjaya merangkul satu pingat emas, satu pingat perak, satu pingat gangsa dan satu Anugerah Kecemerlangan, menjadikan SMK Chung Hua Miri sebagai antara penyumbang utama kepada kejayaan Malaysia selaku juara keseluruhan pertandingan tahun ini.

 

Pasukan Robomission Junior menjuarai kejohanan itu, manakala pasukan Robomission Senior menduduki naib juara dan pasukan Robosport mendapat tempat ketiga.

 

Sementara itu, pasukan Future Innovators mendapat tempat keempat dan membawa pulang Anugerah Kecemerlangan.

 

Sebagai juara keseluruhan, Malaysia berjaya meraih dua pingat emas, tiga pingat perak, satu pingat gangsa serta tiga Anugerah Kecemerlangan daripada lapan kategori yang dipertandingkan. 

 

Kejohanan bertemakan ‘Earth Allies’ itu melibatkan seramai 3,116 peserta dari 87 negara yang ditugaskan mencipta inovasi untuk memelihara alam sekitar menggunakan robotik.

 

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan, memuji pencapaian ini, menyifatkannya sebagai kebanggaan kepada negara. 

 

“Kejayaan ini membuktikan Malaysia memiliki bakat luar biasa dalam bidang robotik dan inovasi teknologi,” katanya ketika menyambut kepulangan kontinjen negara.

 

SMK Chung Hua Miri akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sekolah unggul dalam bidang robotik di mana dedikasi para mentor dan usaha gigih murid-murid telah menjadi kunci kepada kejayaan ini. -EDISI UKAS