Sarawak Sasar Juara Keseluruhan SUKMA XXI 2024

Disiarkan pada 27 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



LAWAS: Kontinjen Sarawak yang menjadi tuan rumah di Bumi Kenyalang diberi cabaran untuk menjadi juara keseluruhan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

 

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, kerajaan negeri meletakkan harapan tinggi kepada semua atlet Sarawak menampilkan aksi terbaik untuk mencapai kejayaan pada temasya SUKMA tahun ini.

 

“Dengan latihan yang dijalankan oleh para atlet dan sebagainya, saya percaya pasukan-pasukan Sarawak akan dapat mencapai kejayaan untuk SUKMA dan Para SUKMA pada tahun ini.

 

“Saya menjanjikan bahawa kerajaan Sarawak akan memberi ganjaran kepada semua atlet yang mampu mengharumkan nama negeri.

 

“Kerajaan Sarawak tidak akan mengecewakan para atlet yang membanggakan negeri ini, kita akan memastikan ganjaran yang berpatutan.

 

“Para atlet pastinya akan berjuang bagi kebanggaan negeri dan bukannya mengejar insentif semata-mata,” jelansya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 di Taman Awam Lawas di sini pada Sabtu.

 

Sementara itu, bercakap ketika ditemui media, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak memberitahu, kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pusat bandar dalam menaik taraf prasarana sukan di Sarawak disebabkan keluasan tanah.

 

“Di setiap bahagian, pusat bandar mesti mempunyai sekurang-kurangnya satu kompleks sukan yang besar dan selepas itu, kemudahan lain akan diusahakan di peringkat daerah dan seterusnya.

 

“Pada masa ini, kita sedang mengusahakan sebanyak 17 mini kompleks sukan yang sedang dalam perancangan dan dalam pembinaan,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, beliau juga menyeru para penduduk di sekitar Bahagian Limbang agar menyokong padu pasukan Sarawak pada SUKMA dan Para SUKMA XXI 2024 bagi menyemarakkan semangat atlet.

 

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Awang Putrayusrie Awang Reduan dan Residen Bahagian Limbang Unus Tambi. -EDISI UKAS