Pelbagai Aktiviti Memeriahkan Mobile Outreach Programme Di Belaga

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BELAGA: Pelbagai aktiviti diadakan bagi memeriahkan Mobile Outreach Programme yang diadakan di Rural Service Centre (RSC), Long Urun, Belaga pada Khamis.
 
Hari pertama program tersebut turut dihadiri Timbalan Residen Bahagian Kapit, Robert Liman, wakil Unit Perancang Ekonomi Sarawak, ketua-ketua masyarakat serta penduduk setempat.
 
Menurut Robert ketika ditemui, program tersebut dianjurkan
khas untuk Bumiputera sahaja di mana sasaran adalah di kawasan pedalaman untuk mendekati Kaum Penan di kawasan Long Urun.
 
Katanya, ia juga bertujuan mendedahkan sedikit infomasi di bandar di samping membawa khidmat untuk penduduk khasnya Kaum Penan di situ.
 
Jelasnya, program itu juga mendedahkan cara-cara menjaga kesihatan di mana terdapat ceramah tentang penyakit Tibi/paru-paru serta penyakit Kusta serta penyakit kronik lain.
 
Dalam hal ini, beliau turut menyarankan mereka yang berusia 40 tahun ke atas untuk kerap melakukan saringan kesihatan.
 
Program dimeriahkan lagi dengan pertandingan mewarna kanak-kanak selain pertandingan menyumpit di kalangan orang dewasa.
 
Penduduk setempat juga tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan tarik tali antara dua kategori lelaki dan wanita. - EDISI UKAS