ADUN Bukit Kota Tinjau Keadaan Tanah Runtuh Di Kampung Pahlawan

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Prihatin dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Pahlawan di sini pada 22 April lepas, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah turun padang bagi meninjau keadaan di kampung berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati tiada lagi pergerakan tanah di situ dan pihak berkaitan akan melakukan kerja-kerja pembaikan awal.

Jelasnya, pihak Jabatan Kerja Raya akan membersihkan kawasan tersebut dan akan meletakkan kanvas supaya runtuhan tidak berlaku lagi.

“Ini adalah tindakan jangka pendek manakala bagi tindakan jangka panjang pihak JKR akan membuat anggaran kos untuk pembaikan secara kekal yang mana kemungkinan kosnya dalam lingkungan RM100,000. 

“Permohonan peruntukan tersebut kita akan kemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak,” katanya ketika ditemui media di kawasan kejadian di situ baru-baru ini.

Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman memberitahu, satu lagi keperluan di kawasan tersebut ialah berkaitan sistem perparitan di kawasan tersebut.

"Saya telah meminta Jabatan Saliran Dan Pengairan (DID) untuk membuat anggaran kos untuk sistem perparitan di kawasan ini yang melibatkan beberapa buah rumah. 

“Projek ini akan dimasukkan dalam projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025,” ujarnya. -EDISI UKAS