SEEP Langkah Penting Ke Arah Tingkatkan Kualiti Pendidikan

Disiarkan pada 03 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS



MIRI: Pelaksanaan Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP) langkah penting ke arah meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini.

 

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, kerajaan negeri berusaha meningkatkan taraf pendidikan menerusi program tersebut.

 

“SEEP adalah ‘game changer’ sekiranya ia dilakukan dengan betul dan dilaksanakan dengan sewajarnya dan ia dipacu data dan disasarkan dengan KPI pulangan yang baik dari segi gred purata.

 

“Jadi sebab itu kita mulakan awal dan harapan tinggi oleh kerajaan bahawa kita mahu meningkatkan taraf pendidikan Sarawak,” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Sesi Randau SEEP Bagi Zon Utara 1 Sarawak di sebuah hotel di sini pada Isnin.

 

Sehubungan itu, Datuk Dr Annuar menegaskan SEEP bukan program duplikasi Yayasan Sarawak iaitu High Performing Rural Schools (HIPERS).

 

“HIPERS bermaksud Sekolah Luar Bandar Berprestasi Tinggi di mana sebuah sekolah menjadi sekolah berprestasi tinggi perlu menghasilkan bukan sahaja dari segi keputusan akademik tetapi juga kokurikulum.

 

“Tetapi masalahnya ialah sama ada ini telah mencapai objektif itu sama ada kita telah menjalankan atau menganalisis semua 26 sekolah yang telah diperuntukkan di bawah HIPERS,” jelasnya.

 

Katanya, tidak banyak sekolah menunjukkan pencapaian yang baik mengikut objektif HIPERS.

 

"Jadi, saya perlu mempersoalkan sama ada HIPERS perlu diteruskan atau sama ada ia perlu digabungkan dengan SEEP kerana saya tidak ingin program digandakan tetapi tidak memulangkan hasil yang baik,” ujarnya.

 

Difahamkan, program tersebut bertujuan menerangkan lebih dekat mengenai SEEP yang bakal dilaksanakan Februari depan dan melibatkan pengetua daripada seramai 185 sekolah di seluruh Sarawak.

 

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Les Met, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi dan Pegawai Pendidikan Daerah Miri Mariam Monek. -EDISI UKAS