Regatta Subis 2024 Catat Kejayaan Gemilang, Edisi Seterusnya Di Niah

Disiarkan pada 03 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


BEKENU: Regatta Subis 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Sungai Sibuti mencatatkan kejayaan gemilang apabila menerima lebih 400 penyertaan daripada pelumba-pelumba bukan sahaja dari kawasan Subis, tetapi juga dari luar daerah seperti Miri dan Kanowit.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, walaupun acara ini berskala kecil, namun semangat juang yang ditunjukkan oleh setiap peserta adalah luar biasa, membuktikan minat yang mendalam terhadap sukan air di Sarawak.

Oleh itu, beliau memaklumkan bahawa pada edisi akan datang, acara seumpamanya akan diadakan di Niah, sambil mengingatkan masyarakat Niah agar bersedia menyambut kedatangan para pelumba yang akan berentap merebut gelaran Raja Regatta Subis yang seterusnya.

"'Road To Regatta' akan diadakan sepanjang tempoh dua tahun ini di Sungai Sibuti dan sungai-sungai di kawasan ini, seperti sukan air, berakit dan pelbagai lagi aktiviti bersesuaian yang boleh dijalankan.

"Saya berharap negara kita akan kekal berada dalam keadaan aman, damai dan bebas penyakit agar kita tidak tergendala mengadakan lebih banyak lagi acara seperti ini di kawasan Subis,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Regatta Subis, Sungai Sibuti @ Bekenu 2024 di Esplaned Bekenu pada Ahad.

Dalam majlis tersebut, Dato Lukanisman telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang, yang mana pasukan Puteri Bunian muncul juara dengan merangkul gelaran 'Raja Sungai Regatta Subis 2024' setelah menampilkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan.

Pasukan Puteri Bunian berjaya memenangi hadiah utama berupa piala serta wang tunai berjumlah RM13,000, diikuti pasukan Ratu Riska di tempat kedua yang membawa pulang piala serta wang tunai RM2,000, sementara pasukan Singgah Tagal meraih tempat ketiga dengan wang tunai RM1,000.

Acara Regatta Subis yang diadakan setiap dua tahun sekali menyajikan pelbagai perlumbaan menarik termasuk berkayuh, bot laju, bot panjang, tunnel bot dan pump bot.

Selain itu, gerai-gerai jualan juga disediakan bagi memeriahkan lagi acara berkenaan sekali gus memberi peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan.

Turut hadir menyerikan majlis itu ialah Pegawai Daerah Subis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Regatta Subis 2024 Norlila Ulis, Setiausaha Majlis Daerah Subis Grace Joy Dapit, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Pandang Semat dan Hajis Japar serta Ketua Masyarakat Daerah Subis Pemanca Dr. Ali Mudin.-EDISI UKAS