Kampung Lubok Piasau Tuan Rumah Pesta Badudun & Lumba Kerbau 2024

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Kampung Lubok Piasau telah terpilih menjadi tuan rumah Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 19 Mei depan.

Pesta tahunan anjuran Persatuan Melayu Limbang itu dijangka dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah mengadakan lawatan ke tapak pesta tersebut untuk meninjau kerja-kerja menaik taraf yang sedang dilaksanakan oleh kontraktor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berharap pihak kontraktor dapat menyiapkan projek tersebut sebelum Pesta Badudun yang berlangsung pertengahan bulan depan. 

Antara komponen kerja naik taraf tersebut adalah pembinaan pesta utama, gelanggang gasing, gelanggang petanque, jalan masuk kedua, menaik taraf gelanggang futsal dan menambah baik kemudahan di tapak pesta.

Dalam pada itu, Pesta Nuba Laya anjuran Persatuan Lun Bawang Sarawak Cawangan Limbang juga diadakan pada awal Mei bertempat di Dewan Suarah Limbang. -EDISI UKAS