Rakyat Luar Bandar Diseru Ikut Perkembangan Teknologi

Disiarkan pada 02 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


MURUM: Rakyat luar bandar diseru agar sentiasa mengikuti perkembangan teknologi yang terkini dalam memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan yang dibawa kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, kedua-dua kerajaan kini membawa perubahan dari segi teknologi dan pembangunan kepada ekonomi berasaskan teknologi baharu.

“Suka atau tidak, kita harus mengubah cara pemikiran kita kerana dunia sentiasa berkembang maju.

"Sekarang di seluruh dunia orang bercakap tentang teknologi kecerdasan buatan. Jadi kita perlu dan harus mengikuti perkembangan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Pra Krismas 2024 di Uma Daro Liling Padong pada Sabtu.

Tambahnya, terdapat tiga perkara yang diberi perhatian oleh Kementerian Digital iaitu kerajaan digital, ekonomi digital dan masyarakat digital.

Oleh itu ujarnya, beliau diberi tanggungjawab untuk turun ke kawasan luar bandar, khasnya di rumah panjang untuk menerang dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

Dalam majlis sama, Ahli Parlimen Hulu Rajang mengumumkan peruntukan untuk membina rumah Biro Wanita Uma Daro berjumlah RM200,000 melalui peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Selain itu, turut diumumkan peruntukan kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Daro berjumlah RM20,000, Kaum Ibu Gereja BEM berjumlah RM8,000, Biro Belia dan Multimedia berjumlah RM5,000, Tadika Kemas Uma Daro berjumlah RM5,000 dan PKS Cawangan Sungai Asap berjumlah RM15,000. -EDISI UKAS