MUKAH: Penganjuran Hari Belia Sarawak bertujuan mengiktiraf dan memperkasakan belia di negeri ini, selain menyediakan platform untuk anak muda mempamerkan bakat, menyertai aktiviti sukan, rekreasi dan usahawan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, “Hari Belia Sarawak adalah untuk meraikan semangat muda dan pemimpin masa depan Sarawak. Program ini juga telah dirangka untuk menginspirasi perubahan positif dalam komuniti di sekitarnya.”
Beliau berkata demikian semasa hadir ke Mesyuarat Persiapan Akhir Hari Belia Sarawak 2024 (HBS2024) yang dipengerusikan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Morshidi Fredrick di Pusat Pentadbiran Baru, Mukah baru-baru ini.
Hari Belia Sarawak 2024 akan bermula pada 4 - 8 Desember ini bertempat di Kingwood Resort Mukah.
Menurut Royston, Mukah dipilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Belia Sarawak pada tahun ini dan belia-belia di Mukah pastinya beruntung mendapat pengalaman yang berharga bersama-sama untuk menyertai dan menganjurkan program tersebut.
“Marilah adik-adik belia kita sama-sama meriahkan lagi program-program menarik yang akan dianjurkan, timba ilmu dan pengalaman dari pelbagai program yang telah dirancang, ini akan memberi pendedahan kepada kita semua, dan serlahkan potensi diri anda.
“Kitalah yang akan menjadi pemimpin kelak, yang mencorakkan masa depan Sarawak dan Malaysia suatu masa nanti,” tambah beliau.
Katanya, penganjuran HBS pada setiap tahun juga bertujuan untuk memberi semangat dan meningkatkan kesedaran kepada golongan belia bahawa kerajaan sentiasa memberikan perhatian dan peka kepada perkembangan semasa golongan belia masa kini, termasuk dalam meningkat usaha kemajuan negara dan dunia setelah dilanda pandemik COVID-19 melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka hadir untuk merasmikan Hari Belia Sarawak pada 7 Disember ini di Kingwood Resort, Mukah. - EDISI UKAS