SERIAN: Usaha Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam mempertahankan hak milik wilayah ini memerlukan sokongan seluruh rakyatnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memainkan peranan yang penting dalam mendapatkan sokongan daripada rakyat Sarawak.
“Setiap lapisan rakyat haruslah memberikan sokongan tanpa rasa ragu-ragu kepada Datuk Patinggi Abang Zohari dalam melindungi hak kita seperti mana yang dibentangkan beliau semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini mengenai hak mutlak Sarawak terhadap hasil buminya.
“Dasar bumi dan lapisan atas tanah Sarawak, yang pada asalnya adalah tanah Crown di bawah Kanun Tanah 1958, menjadi milik Kerajaan Sarawak sebaik sahaja penubuhan Malaysia pada Hari Malaysia, 1963,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Mesyuarat PBB Cawangan Balai Ringin yang berlangsung di Pusat Konvensyen Serian (SCC) di sini pada Ahad.
Jelas Datuk Amar Douglas Uggah, sokongan daripada rakyat amat penting memandangkan isu ini menjadi bualan hangat pada hari ini sehingga ada yang berani mempersoalkan hak Sarawak yang sudah jelas diterangkan oleh Premier Sarawak malah sudahpun termaktub dalam perjanjian-perjanjian penting sejak dari dulu.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar cawangan-cawangan PBB menjadikan isu ini sebagai resolusi utama dalam konvensyen parti yang akan datang pada Febuari tahun hadapan.
"Kita mesti menunjukkan kepada semua bahawa Premier kita mendapat sokongan yang jelas daripada seluruh rakyat Sarawak dalam melindungi hak negeri," jelasnya lagi.
Sementara itu, Datuk Amar Doulas Uggah juga menyeru agar cawangan-cawangan parti dapat merumuskan resolusi yang mencerminkan keperluan dan aspirasi sebenar mereka dalam usaha meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat. -EDISI UKAS