Khazanah Kasihnya Warisan Dinobatkan Raja Sungai Regatta Benak Batang Lupar 2024

Disiarkan pada 02 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN:Pesta Benak Sri Aman 2024 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah apabila pasukan Khazanah Kasihnya Warisan dinobatkan sebagai Raja Sungai Regatta Benak Batang Lupar, dengan catatan masa terpantas 6 minit 48 saat.

Kemenangan ini membolehkan mereka membawa pulang habuan RM25,000 dan piala kejuaraan.

Sementara itu pasukan MRG Gedong II dan Todak Berjaya masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dengan hadiah wang tunai RM10,000 dan RM5,000.

Pesta ini turut menarik ribuan pengunjung, memeriahkan suasana dan memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk menjana pendapatan.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, dalam ucapannya menyifatkan acara tahunan ikonik ini sebagai simbol kebersamaan masyarakat.

“Keadaan seperti ini yang kita inginkan, di mana para peniaga dan usahawan dapat memanfaatkan peluang untuk menjana pendapatan tambahan melalui hasil tani, makanan, serta produk tempatan.

“Pesta ini bukan sahaja meningkatkan imej Bandar Simanggang sebagai destinasi pelancongan utama, malah menyokong komuniti tempatan dalam meningkatkan ekonomi serta mengetengahkan produk mereka ke peringkat lebih luas,” katanya ketika berucap dalam majlis penangguhan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa Pesta Benak Sri Aman berpotensi besar untuk terus memacu reputasi Sri Aman sebagai hab pelancongan dan ekonomi, sambil memperkukuh semangat perpaduan rakyat melalui penganjuran acara tradisi ini.

Pesta Benak Sri Aman 2024 sekali lagi membuktikan keunikannya dalam mengangkat warisan budaya Batang Lupar, menjadi lambang kebanggaan masyarakat tempatan dan ikon pelancongan Sarawak.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Pengiring, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta isteri, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS