Sarawak Masih Mempertimbangkan Konsep Rakan KKM Wujudkan ‘Premium Wing’ Di Hospital Awam

Disiarkan pada 02 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Wilayah Sarawak masih dalam proses mempertimbangkan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengadakan Rakan KKM di sini, dengan konsep utama mewujudkan ‘premium wing’ di hospital awam.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian memberitahu, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih lanjut terlebih dahulu untuk melihat sama ada perkara ini sesuai diadakan di Sarawak ataupun sebaliknya.

“Konsep asas Rakan KKM adalah untuk memiliki menubuhkan ‘premium wing’ di hospital awam namun butiran-butiran mengenainya harus kita bincang terlebih dahulu dan meneliti dengan lebih lanjut sebelum kita bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Apa yang difikirkan oleh Rakan KKM ialah untuk mendapatkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk melabur dalam hospital awam kerana dahulu, di hospital kita ada kelas pertama, kelas kedua dan kelas ketiga namun kini kebanyakkan hospital awam tidak tiada lagi kelas sedemikian.

“Oleh itu, mereka ingin mewujudkan semula ‘premium wing’ ini untuk mereka yang mampu membayar caj itu nanti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Pertandingan Puzzle Ibu Bapa dan Kanak-Kanak yang berlangsung di sebuah pusat membeli belah di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut menerima dua lagi cadangan KKM iaitu untuk menjadikan Sarawak yang pertama untuk melancarkan Lembaga Promosi Kesihatan Sarawak dan membincangkan kos pendigitalisasikan sektor kesihatan di Malaysia.

“Yang pertama adalah Lembaga Promosi Kesihatan Sarawak kerana mereka mahu melakukannya secara nasional tetapi mereka berpendapat bahawa Sarawak harus mengambil peranan utama terlebih dahulu untuk menjadi yang pertama berbuat demikian.

“Yang keduanya, mereka mahu mendigitalkan penjagaan kesihatan yang melibatkan pendigitalan klinik dan hospital di mana Kerajaan Sarawak tahun ini telah memberikan RM10 juta dan mereka masih memerlukan RM7 juta lagi untuk baki klinik yang lain.

“Mereka juga mahu membincangkan mengenai pembiayaan untuk pendigitalan hospital kerana Kerajaan Persekutuan cuba untuk mendigitalkan namun kerana kekangan dana, mereka berpendapat mungkin Kerajaan Sarawak boleh membantu memandangkan yang akan mendapat manfaat adalah rakyat Sarawak juga,” jelasnya lagi. -EDISI UKAS