SRI AMAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, telah menghadiri majlis penangguhan Pesta Benak 2024 yang diadakan di Tebingan Sungai Sri Aman pada Ahad.
Kehadiran Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan isteri menandakan sokongan penuh terhadap acara tradisional ini yang merupakan simbol warisan budaya serta kebanggaan masyarakat Sarawak, terutamanya di Bahagian Sri Aman.
Selain itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut berpeluang menyaksikan fenomena unik Benak iaitu gelombang pasang surut yang menjadi tarikan utama pesta tersebut, menambah keistimewaan acara yang menggabungkan tradisi, budaya, dan keindahan alam semula jadi.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut berkesempatan menyaksikan acara kemuncak iaitu pertandingan akhir Regatta Benak Batang Lupar 2024, di mana para peserta bersaing sengit untuk merebut gelaran Raja Sungai.
Gelaran itu disertakan dengan hadiah lumayan berupa wang tunai RM25,000 dan sebuah piala kejuaraan.
Selain menyaksikan fenomena gelombang pasang surut yang menjadi tarikan utama, pasangan ini juga meluangkan masa melawat pameran agensi kerajaan.
Pesta yang berlangsung dari 28 November hingga 1 Disember 2024 ini turut dimeriahkan dengan program, aktiviti, gerai kraftangan, dan bazaar ria, terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sri Aman sebagai destinasi pelancongan utama.
Turut hadir ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Pengiring, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta isteri, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS