Wakil Rakyat Perlu Berkualiti

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Kerajaan Sarawak mementingkan kualiti bagi seseorang wakil rakyat dengan memberikan mereka pendedahan dan pengalaman berkaitan perbahasan rang undang-undang di luar negara.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, sebagai wakil rakyat, mereka perlu menampilkan kualiti untuk mewakili kepentingan dan keperluan masyarakat yang diwakili.

“Wakil rakyat yang berkualiti dapat memastikan bahawa suara dan aspirasi rakyat didengar dan diwakili dengan baik di peringkat kerajaan. 

“Ini penting untuk memastikan pembangunan dan kemajuan yang berterusan dalam negeri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Tellian di Hotel Kingwood Mukah pada Khamis. 

Jelasnya lagi, wacana Parlimen seringkali dirancang oleh DUN Sarawak untuk memperkenalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada sistem berparlimen, proses legislasi, peranan anggota parlimen dan prinsip-prinsip demokrasi. 

“Ini dapat membantu individu memahami bagaimana pemerintahan bekerja dan bagaimana mereka dapat terlibat dalam proses politik,” ujarnya. 

Hadir sama dalam majlis itu ialah ADUN Tellian Royston Valentine.-EDISI UKAS