Perpaduan, Integrasi ‘Ramuan’ Utama Capai Kestabilan Ekonomi, Sosial & Politik

Disiarkan pada 01 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


BELAWAI : Perpaduan dan integrasi adalah ramuan utama untuk mencapai kestabilan ekonomi, sosial dan politik dalam sesebuah masyarakat majmuk.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, perpaduan tidak datang bergolek namun perlu dipupuk dan ditanam dalam sanubari komuniti sejak kecil lagi supaya nilai tersebut dapat dihayati sepanjang hayat.

"Melalui aktiviti solidariti komuniti seperti perkongsian bersama agensi, dan Dialog Solidariti yang telah dilaksanakan, saya percaya para peserta sudah dapat menghayati akan nilai dan kepentingan hubungan baik agar hubungan berkualiti dapat ditingkatkan tanpa mengira jantina, peringkat umur, etnik dan agama.

"Melalui hubungan berkualiti, mudah untuk kita mencapai kebersamaan (shared understanding) bagi mengukuhkan keharmonian sosial dalam komuniti kita di Daerah Tanjung Manis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Randau Solidariti Komuniti (PRSK) di Dewan Masyarakat Kampung Belawai di sini pada Sabtu.

Apabila kesefahaman dan kebersamaan sudah menjadi satu budaya ujarnya, maka lebih mudah untuk menangani isu dan cabaran sosial yang dihadapi secara bersepadu.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu, pembangunan seimbang lebih mudah dicapai dalam masyarakat yang sudah bersatu padu dan utuh kerana pembangunan ekonomi dan fizikal dapat dilaksanakan dalam suasana sosial yang sejahtera, aman dan harmonis.

“Ia selaras dengan saranan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk memastikan agar tiada individu yang tertinggal dalam arus pembangunan di Sarawak.

“Oleh itu, mari kita terus memupuk perpaduan dan solidariti dalam kepelbagaian demi meningkatkan kesejahteraan komuniti, khususnya di Daerah Tanjung Manis, dan amnya di Sarawak.,” katanya. -EDISI UKAS