UTS Pergiat Usaha Ambil Pelajar Antarabangsa 

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) kini sedang mempergiatkan usaha pengambilan pelajar antarabangsa dan mengantarabangsakan tenaga pengajarnya.

Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, ia selaras dengan pelan strategik UTS 2024-2030 yang ingin menjadikan UTS sebagai universiti bertaraf global dalam bidang pendidikan teknikal dan profesional.

"Kami jangkakan lebih ramai pelajar antarabangsa, dari negara Asean terutamanya dari Indonesia, Brunei, China dan Indo-China yang akan memilih UTS dan Sibu sebagai destinasi pengajian tinggi mereka. 

“Begitu juga kami sedang giat untuk mendapatkan tenaga pengajar dan penyelidik dari luar negara pada tahun mendatang demi untuk meletakkan UTS dan Sibu di peta dunia,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam ‘Jasamu Disanjung’ di sini pada malam Rabu.

Datuk Khairuddin menambah, Jabatan Imigresen telah banyak membantu dalam memahami, membantu dan memproses permohonan pas pelajar dan pas kerja staf dari luar Sarawak.

Justeru, beliau berharap agar kerjasama tersebut dapat dieratkan lagi dalam melancarkan dan meningkatkan mutu khidmat UTS kepada pelajar dan staf antarabangsa.

"UTS juga amat bertuah kerana mendapat liputan media yang meluas berbanding universiti lain di Sarawak sejak ia ditubuhkan  pada 2013.

"Walaupun masih baru dan kurang dikenali dengan bantuan dan sokongan media, UTS telah menjadi universiti pilihan di Sarawak," katanya.

Tambahnya, ini dibuktikan dengan jumlah pelajar yang meningkat secara mendadak dalam tempoh tiga tahun lepas, daripada lebih 1,000 orang kepada lebih 3,200 orang.

"Kita yakin dapat mencapai 4,000 populasi pelajar menjelang akhir tahun ini," ujarnya lagi.-EDISI UKAS