26/5/2025 – Pusat Service Sarawak Sibu menjalankan Program Pendaftaran Sarawak ID dan SPay Global di University of Technology Sarawak (UTS) dari 26 hingga 30 Mei 2025. Program ini berlangsung setiap hari dari jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang dan mendapat sambutan baik daripada para pelajar dan kakitangan universiti.
Sepanjang program ini, pasukan Service Sarawak Sibu melaksanakan beberapa perkhidmatan utama seperti pendaftaran dan pengemaskinian akaun Sarawak ID serta SPay Global. Turut dilaksanakan ialah khidmat bantuan dan tunjuk ajar kepada pelajar berkenaan proses permohonan Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak melalui laman web Yayasan Sarawak.
Selain itu, pengunjung juga diberi peluang untuk membuat semakan permohonan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), sekaligus memudahkan akses kepada pelbagai bantuan kerajaan secara digital.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Service Sarawak Sibu untuk meningkatkan kesedaran dan penggunaan perkhidmatan digital dalam kalangan warga kampus, sejajar dengan matlamat kerajaan negeri ke arah transformasi digital.