Service Sarawak Kuching - Sesi Perkongsian bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Bau
19 November 2024 - Pusat Service Sarawak Kuching telah menganjurkan sesi perkongsian mengenai SarawakID, Service Sarawak, dan Talikhidmat di Pejabat Daerah Bau. Sesi ini bertujuan untuk memperkenalkan inisiatif baharu dalam aplikasi dan portal Service Sarawak kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan tersebut. Selain itu, pegawai dari Service Sarawak Kuching juga telah memberikan latihan kepada KMKK Daerah Bau mengenai cara mendaftar dan mengemaskini akaun SarawakID.
Selain itu, KMKK Daerah Bau diberi pendedahan tentang inisiatif baru yang diperkenalkan, iaitu Senior Citizen Health Benefit (SCHB), yang bertujuan membantu mereka untuk mendaftar dan menyediakan akses kepada faedah kesihatan untuk warga emas di kawasan mereka. Para peserta turut diberikan latihan praktikal dalam menggunakan aplikasi Service Sarawak untuk mendaftar SCHB bagi penduduk di kawasan seliaan mereka.
Dalam sesi yang sama, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) turut diundang untuk memberikan taklimat serta latihan praktikal dalam menggunakan aplikasi dan portal TaliKhidmat, yang merupakan salah satu platform utama untuk KMKK Daerah Bau untuk membuat aduan di kawasan seliaan mereka.
Sesi perkongsian ini memberi peluang kepada KMKK di daerah Bau untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam menggunakan teknologi yang disediakan oleh kerajaan Sarawak untuk memudahkan urusan dan meningkatkan perkhidmatan kepada orang awam.