STIU Laksana Inisiatif CSR Penanaman Pokok Di Hutan Simpan Bakam

Posted on 03 Aug 2024
Source of News: STIU
MIRI, SARAWAK: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) telah melaksanakan program Corporate Social Responsibility (CSR) Penanaman Pokok bersama dengan Pejabat Hutan Wilayah Miri di Hutan Simpan Bakam, Miri pada 3 Ogos 2024. Spesis anak pokok Bintangor Bukit telah berjaya ditanam oleh 47 kakitangan daripada kedua-dua Jabatan yang terlibat dalam program tersebut.

Encik Superi Bin Awang Said, Pengarah STIU memaklumkan bahawa program yang telah dijalankan bertujuan untuk memberi sokongan kepada Greening Sarawak Campaign dalam usaha penanaman 35 juta pokok menjelang tahun 2025. Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada biodiversiti dan pemulihan ekosistem tetapi juga membantu dalam mencapai matlamat yang lebih luas iaitu Agenda Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula dari tahun 2021 hingga tahun 2025. Hutan Simpan Bakam yang berkeluasan 907 hektar telah diwartakan sebagai sebagai Kawasan Hutan Kekal (PFE) pada tahun 2023 sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan jumlah tanah yang diwartakan sebagai PFE kepada enam juta hektar pada masa akan datang.           
Encik Liam Dibor Pegawai Hutan Wilayah Miri dalam ucapannya berkata, hutan simpan ini merupakan bekas kawasan pembalakan dan usaha pemuliharaan sedang giat dilakukan kerana kepentingannya dalam kepelbagaian biologi, sumber hasil bukan kayu serta kawasan tadahan air. Program penanaman pokok ini adalah program CSR yang berterusan oleh STIU bagi tahun 2024. Antara program CSR yang telah dilaksanakan ialah gotong- royong di kawasan Taman Budaya, Kuching pada 13 Julai yang lalu. Selain itu, STIU juga sedang giat memulakan program pengumpulan pelbagai bantuan sepanjang bulan Julai yang akan disumbangkan kepada golongan yang memerlukan.  -EDISI UKAS