MAJLIS NGILING BIDAI DI RH. ROSE, NANGA SEBATU, BATANG RAJANG
MAJLIS NGILING BIDAI DI RH. ROSE, NANGA SEBATU, BATANG RAJANG
25 Jun 2026 (Khamis)
11.30 pagi
Rh. Rose, Nanga Sebatu, Batang Rajang
YBhg. Dato Georgina Apphia Ngau telah menghadiri Majlis Ngiling Bidai di Rh. Rose, Nanga Sebatu sempena lawatan Yang Berhormat Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kerajaan Sarawak, ke Bahagian Kapit bersempena Program Sarawakku Sayang Bahagian Kapit 2026 .
Rombongan memulakan perjalanan menaiki kapal dari Jeti Kanowit, menyusuri Sungai Rajang yang terkenal sebagai sungai terpanjang di Malaysia. Sepanjang perjalanan, rombongan disajikan dengan panorama alam semula jadi yang memukau, dihiasi kehijauan hutan di sepanjang tebing sungai, deretan rumah panjang tradisional serta suasana damai yang menjadi nadi kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman. Keindahan landskap ini menyerlahkan keunikan warisan alam dan budaya Sarawak sebelum rombongan tiba di Rh. Rose, Nanga Sebatu.
Perjalanan tersebut bukan sahaja memberi peluang menghayati keindahan Sungai Rajang, malah melambangkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak untuk mendekati masyarakat di kawasan pedalaman serta memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat terus diperkasakan.
Dalam ucapan beliau, Yang Berhormat Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki menjelaskan bahawa Program Sarawakku Sayang merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mendekati rakyat secara langsung, berkongsi maklumat mengenai dasar serta pelbagai inisiatif kerajaan, di samping mendapatkan maklum balas daripada masyarakat. Pendekatan ini mencerminkan iltizam Kerajaan Sarawak untuk memastikan keperluan asas rakyat sentiasa diberi perhatian, sekali gus memperkukuh kesejahteraan serta pembangunan yang inklusif dan mampan di seluruh negeri.
Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah penyampaian sumbangan daripada MAKSAK Sarawak yang telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato Hajah Baduyah binti Haji Bujang sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada masyarakat setempat.
Majlis Ngiling Bidai yang diraikan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin kerajaan dan masyarakat setempat, di samping memelihara adat resam serta warisan budaya masyarakat Dayak yang menjadi identiti dan kebanggaan Sarawak.
Turut hadir ialah Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi); Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran); serta ketua-ketua jabatan daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak.