MAJLIS KESYUKURAN AGAMA-AGAMA LAIN BERSEMPENA DENGAN SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KE-XVII PERINGKAT SARAWAK TAHUN 2026
MAJLIS KESYUKURAN AGAMA-AGAMA LAIN BERSEMPENA DENGAN SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KE-XVII PERINGKAT SARAWAK TAHUN 2026
13 Jun 2026 (Sabtu)
11.00 pagi
Dewan Panglima Rentap, Betong
Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah berjaya menganjurkan Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII Peringkat Sarawak Tahun 2026. Majlis ini merupakan acara pembuka tirai bagi sambutan rasmi Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII Peringkat Sarawak Tahun 2026.
Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran Tetamu Kehormat, YB Dato Sri John Sikie anak Tayai, Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan ini, bersama isteri beliau YBhg. Datin Sri Melia Gelen.
Turut hadir ialah YB Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh bersama isteri, YBhg. Datin Dorothy Sylvester Pungga, YB Datuk Snowdan Lawan bersama isteri, YBhg. Datin Melinda Claudia Bucking, YB Dato' Sri Doris Sophia Brodie, YBhg. Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), wakil-wakil rakyat yang lain, setiausaha-setiausaha politik, ketua-ketua masyarakat serta pemimpin-pemimpin pelbagai agama.
Majlis berlangsung dalam suasana penuh muhibah dan harmoni dengan kehadiran masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum yang bersama-sama mendoakan kesejahteraan, kedaulatan serta kemakmuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda Tahun 2026.
Selain bacaan doa kesyukuran daripada ketua-ketua dan wakil-wakil agama-agama lain, majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada Federation of Sarawak Temple Associations, Association of Churches in Sarawak-Combined Choirs serta Federation of Sarawak Buddhist Associations. Persembahan yang berwarna-warni, bertenaga dan menyentuh hati ini telah menambahkan lagi seri majlis serta mencerminkan keindahan kepelbagaian budaya dan agama yang menjadi kekuatan unik Sarawak.
Penganjuran majlis ini sekali lagi membuktikan bahawa perpaduan dan keharmonian antara agama yang sekian lama dipupuk di Sarawak terus menjadi asas penting kepada kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan negeri, selaras dengan semangat inklusiviti dan saling menghormati yang menjadi kebanggaan rakyat Sarawak.