28 Januari 2026
9:00-5:00 petang
Pullman Hotel Kuching
Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah melabuhkan tirai Program Pejabat Bergerak UNIFOR yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 26 hingga 28 Januari 2026 di Hotel Pullman Miri. Program ini sekali lagi mencatat sambutan yang amat menggalakkan, khususnya pada hari terakhir penganjurannya.
Pada hari ketiga program, peningkatan sebanyak 88.46 peratus telah direkodkan berbanding hari kedua, melibatkan 75 pendaftaran profil baharu, 52 pengemaskinian profil sedia ada serta 20 permohonan yang berjaya dilengkapkan sepenuhnya melalui Sistem ORSEM. Pencapaian ini membuktikan keberkesanan pendekatan turun padang yang dilaksanakan oleh UNIFOR dalam menggalakkan pemohon di Bahagian Miri untuk mengemukakan permohonan secara langsung.
Pada sebelah petang, Yang Berbahagia Dato Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau, bersama pegawai-pegawai UNIFOR dan pihak Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) telah membuka kaunter Program Pejabat Bergerak UNIFOR di Pusat Khidmat ADUN N.77 Telang Usan. Turut hadir bersama ialah Yang Berhormat Dato Dennis Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri N.77 Telang Usan.
Secara keseluruhan, sepanjang tiga (3) hari pelaksanaan program ini, UNIFOR telah merekodkan sebanyak 230 profil rumah ibadat dengan kerjasama tujuh (7) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan Miri, iaitu DUN N71 Bekenu, N72 Lambir, N73 Piasau, N74 Pujut, N75 Senadin, N76 Marudi, N77 Telang Usan dan N78 Mulu. Daripada jumlah tersebut, 124 merupakan pendaftaran baharu, 77 pengemaskinian profil sedia ada, manakala 30 permohonan telah berjaya dilengkapkan sepenuhnya dalam Sistem ORSEM.
UNIFOR komited untuk terus melaksanakan program seumpama ini sebagai usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memastikan akses yang lebih menyeluruh kepada komuniti rumah ibadat di seluruh Sarawak.